PETALING JAYA – Malaysia melabuh tirai Kepengerusian ASEAN dengan penuh kejayaan, semangat perpaduan dan kebersamaan serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 malah diteruskan dengan pelbagai agenda penting melibatkan seluruh negara anggota.
“Sepanjang tiga hari persidangan, para pemimpin mencapai pelbagai hasil penting daripada kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai Negara Anggota ASEAN ke-11, sehinggalah kepada pengukuhan kerjasama strategik dan ekonomi yang lebih mampan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia akan terus berperanan sebagai pemacu utama dalam memperkukuh dialog memperjuang keamanan.
Kata beliau, Malaysia juga akan terus menjulang semangat keterangkuman dan kesejahteraan rantau ini. – KOSMO! ONLINE














