PETALING JAYA – Tidak menjelaskan punca, penyanyi Linda Rafar secara tiba-tiba membuat keputusan nekad menarik diri daripada kumpulan Elite.
Linda atau nama sebenarnya Azlinda Abd Rafar, 47, mengakui membuat keputusan itu dengan berat hati.
“Hanya kepada Allah aku berserah. Maafkan Linda jika tak dapat bersama Elite lagi.
“Sedih sangat, nak tulis pun tak boleh. Moga Allah kuatkan Linda dalam apa juga keadaan,” tulisnya dalam hantaran Threads.
Pengumuman itu mengejut ramai kerana hanya sebulan sebelum ini
Linda bersama empat anggota Elite lain bergabung merealisasikan konsert Elite Live 25 di Plenary Hall, KLCC pada 20 September lalu.
Walaupun tidak menyatakan punca mengambil keputusan drastik itu, dipercayai tindakannya mempunyai kaitan dengan tekanan emosi akibat kecaman netizen.
Sebelum ini dia dikecam gara-gara busana dipakai pada majlis pengumuman konsert Elite yang membuatkannya hampir menarik diri daripada beraksi pada acara itu.
Akibat ‘serangan’ tersebut, Linda mendedahkan mengalami gangguan keresahan atau ‘anxiety’, selain hilang selera makan.
Menerusi maklum balas, ramai pengikut termasuk rakan artis memberikan sokongan moral dengan menyifatkan itu langkah terbaik demi kesihatan mentalnya.
“Alhamdulillah, saya rasa memang itu yang terbaik. Semoga Allah permudahkan urusan Linda dan dikurniakan kesihatan yang baik,” tulis netizen.
Selain Linda, kumpulan yang ditubuhkan KRU Records pada tahun 1995 turut dibarisi Abby Abadi, Azza Zawari, Sasha Saidin dan Watie Sadali. – KOSMO! ONLINE














