fbpx
Antara pelajar berusia 17 tahun yang ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya serta menghalang laluan ambulans dalam kejadian dua minggu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini. - FOTO/ MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

Lima pelajar mengaku salah tunggang motosikal secara bahaya, halang ambulans

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA KANGSAR – Lima pelajar yang ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya dan menghalang ambulans dua minggu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Kelima-lima remaja lelaki berusia 17 tahun itu mengaku bersalah atas pertuduhan menunggang motosikal secara berbahaya selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohd. Shazmeer Zamhari.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menunggang dengan kelajuan berbahaya kepada orang awam di Kilometer 249, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan pada pukul 3.15 petang, 19 Oktober lalu. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun dan denda maksimum RM15,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Mirza Zulaikha Mohd. Fadzly, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Hennie Soraya Hanafi.

Mahkamah membenarkan jaminan RM1,500 dikenakan ke atas setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Januari 2026 untuk menjatuhkan hukuman sementara menunggu laporan akhlak. Kesemua tertuduh membayar wang jaminan tersebut.

Kosmo! Online semalam melaporkan lima remaja diberkas di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada pukul 3 petang hingga 9 malam, Isnin lalu oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Perak susulan video tular aksi menunggang motosikal secara berbahaya dan menghalang laluan ambulans.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada pada pukul 3.15 petang, 19 Oktober lalu ketika ambulans tersebut dalam perjalanan untuk memberi bantuan kemalangan di Kilometer 260, lebuh raya berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI