PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan pihaknya tidak sekali-kali melengahkan sebarang siasatan yang melibatkan keselamatan murid.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, keselamatan dan kebajikan murid sentiasa menjadi keutamaan dan tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan.
Beliau berkata, sehubungan dengan itu, setiap insiden yang berlaku di asrama, termasuk kejadian murid terjatuh dari tingkat tiga baru-baru ini, telah diberikan perhatian serta-merta dan disiasat secara menyeluruh bagi memastikan punca kejadian dikenal pasti dan langkah penambahbaikan dapat dilaksanakan.
“Dalam kes ini, laporan segera telah dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 serta menjalankan siasatan ke atas semua pihak yang terlibat.
“KPM juga telah memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan dijalankan.
“Susulan daripada itu, Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid serta ketua warden sekolah berkenaan telah ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam, Selangor sehingga siasatan selesai,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) mengenai perkembangan terkini kes pelajar terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah itu, langkah-langkah telah dan akan diambil bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan asrama dipatuhi sepenuhnya di sekolah seluruh negara.
Fadhlina berkata, KPM juga telah melaksanakan pemeriksaan dan siasatan dalaman bagi meneliti semua aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
“Bagi memastikan kes seperti itu tidak berulang, KPM sudah dan sedang melaksanakan beberapa langkah termasuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan.
“Jawatankuasa ini dianggotai pakar akademik, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta rakan strategik seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF),” katanya. – KOSMO! ONLINE














