BATU PAHAT – Pasangan suami isteri ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak yang cedera di leher disyaki dikelar menggunakan senjata tajam di Kampung Parit Nipah, Parit Raja di sini kelmarin.
Perintah reman bermula hari ini sehingga esok ke atas pasangan masing-masing berusia 41 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nurasidah A. Rahman di Mahkamah Majistret di sini.
Terdahulu, pasangan yang diwakili peguam Muhamad Izwan Ishak dibawa masuk ke mahkamah kira-kira pukul 8.15 pagi.
Mereka direman bagi memboleh pasukan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.
Isnin lalu, Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun mengalami kecederaan di leher dipercayai dikelar dengan senjata tajam.
Kejadian itu disedari oleh ibunya selepas terbangun dari tidur kira-kira pukul 5.30 pagi sebelum mendapati dua bilah pisau diletakkan diatas bantal tempat tidur anak bongsu daripada tiga adik beradik itu.
Bagaimanapun, kanak-kanak lelaki itu bernasib baik kerana tiada saluran darah yang terputus selepas dibawa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Parit Raja sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Semalam, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, keadaan kanak-kanak yang masih dirawat di HSNI itu sudah berada dalam keadaan stabil, boleh bercakap namun masih menjalani rawatan rapi daripada pihak hospital.
Manakala pasangan itu ditahan polis untuk membantu siasatan di Perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pukul 4 petang semalam. – KOSMO! ONLINE














