PETALING JAYA – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli memaklumkan beliau sedang meneliti perjanjian tarif ditandatangani Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) sempena lawatan Presiden Donald Trump baru-baru ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, kaedah yang adil untuk menilai perjanjian tersebut dengan meneliti perkataan demi perkataan dan kemudian dibandingkan dengan perjanjian tariff negara ASEAN lain.
“Kita juga boleh cuba membuat ‘cost benefit analysis’ untuk menganggarkan kesan kewangan kepada negara. Saya sedang melakukan perkara-perkara ini sebelum saya membuka mulut. “Insya-Allah, saya akan kongsi beberapa perkara setakat penelitian saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Rafizi berkata, ramai pihak mahu tahu pendirian dan pendapat beliau berhubung perjanjian tarif yang telah ditandatangani oleh Malaysia dan AS tersebut.
Kata beliau, terdapat pelbagai reaksi mengenai perjanjian tarif berkenaan ketika ini termasuk oleh pembangkang dan Ahli Parlimen Pasir Gudang yang mengkritik keras perjanjian itu.
Beliau berkata, perjanjian itu dirundingkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi pihak kerajaan.
“Kebiasaannya setelah habis semua rundingan dan draf telah siap, barulah dibawa ke Kabinet. Kalaupun ada ruang untuk mengubahnya, ruang itu agak terhad, besar kemungkinan kerana kesuntukan masa.
“Kalaupun ada anggota Kabinet tidak bersetuju, akhirnya keputusan Perdana Menteri akan memuktamadkan keputusan Kabinet, cuma pandangan yang berbeza akan direkodkan dalam minit mesyuarat Kabinet.
“Besar kemungkinan kita tidak akan tahu sampai bila-bila apa yang dibincangkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














