PENGKALAN HULU – Seorang lelaki yang berada di bawah pengaruh dadah ditahan selepas dipercayai membakar rumah keluarganya di Kampung Seberang Kuak Hulu di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Superintendan Zulkepli Ibrahim berkata, lelaki berusia 25 tahun itu ditahan pada pukul 3.25 pagi tadi dan ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methaphetamine.
“Pada pukul 1.08 pagi tadi, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu menerima maklumat mengenai kejadian kebakaran rumah di Kampung Seberang Kuak Hulu. Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Hulu dengan dibantu BBP Baling, Kedah pergi ke lokasi dan api berjaya dipadam pada pukul 2.30 pagi.
“Seorang wanita berusia 66 tahun yang juga ibu suspek dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi mendapatkan rawatan akibat melecur dan memerlukan pembedahan segera,” katanya.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati, punca kebakaran dipercayai akibat perbuatan khianat anak pemilik rumah yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.
“Suspek yang tinggal bersama ibu bapanya di rumah tersebut direman empat hari sehingga Sabtu ini untuk siasatan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














