GEORGE TOWN – Seorang wanita dipercayai etnik Rohingya maut, manakala anak perempuannya berusia dua tahun parah dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) ketika melintas di Jalan Sultan Azlan Shah, Sungai Dua di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, dalam kejadian pada pukul 8.40 malam itu, kenderaan tersebut dipandu seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun.
Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati pemandu tersebut dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas. “Kenderaan tersebut terlanggar pejalan kaki warga asing berusia 40 tahun dan anaknya berusia dua tahun yang sedang melintas di laluan berkenaan.
“Wanita itu disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala anaknya cedera parah. Pemandu SUV pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE














