ALOR SETAR – Garis panduan penggunaan pembesar suara di masjid dan surau di seluruh Kedah yang berkuat kuasa 1 November ini bertujuan menjaga keharmonian semua penduduk.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Datuk Dr. Abd. Ghani Zainuddin berkata, peraturan itu diputuskan dalam satu mesyuarat jawatankuasa Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), bulan lepas.
“Jangan politikkan isu ini kerana keputusan yang dibuat adalah untuk keharmonian semua penduduk tanpa mengira bangsa, selain menyeragamkan penggunaan pembesar suara masjid dan surau agar bersesuaian dengan kehendak syarak serta keperluan masyarakat.
“Kita menerima aduan ada masjid yang membuka pembesar suara terlalu kuat termasuk pembesar suara dalam masjid sehingga menyebabkan gangguan bunyi kepada penduduk sekitar. Semua aktiviti masjid termasuk kuliah boleh berjalan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, pihaknya kesal dengan sikap segelintir pihak yang cuba mempolitikkan isu tersebut yang dikhuatiri mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Tambahnya, paras bunyi pembesar suara luar yang ditetapkan dalam garis panduan tersebut adalah tidak melebihi 85 desibel (dBA) pada jarak 100 meter sementara pembesar suara dalam pula tidak melebihi 70 dBA pada jarak satu meter. – KOSMO! ONLINE














