PETALING JAYA – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil melahirkan rasa dukacita atas pemergian Pengarah Orkestra Tradisional Malaysia Istana Budaya, Mohd. Yazid Zakaria pagi tadi.
Menurut beliau, Allahyarham Mohd. Yazid baru sahaja mengetuai orkestra semasa majlis makan malam Gala ASEAN dua hari lalu.
“Saya amat berdukacita menerima berita pemergian Pengarah Orkestra Tradisional Malaysia Istana Budaya.
“Beliau ibarat sebutir permata, pemimpin seni yang komited, berdedikasi dan disegani. Kehilangannya amat dirasai,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Fahmi berkata, beliau mewakili pihak Kementerian Komunikasi mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd. Yazid.
Katanya, semua pihak diminta bersama-sama mendoakan agar roh Mohd. Yazid dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. – KOSMO! ONLINE













