fbpx
EMPAT tertuduh dibawa keluar selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan di Kuantan hari ini.

Empat pekebun durian Raub didakwa ubah wang haram RM559,329

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – Empat pekebun durian didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pengubahan wang haram bernilai RM559,329 pada Julai 2024 hingga Oktober lalu.

Bagaimanapun kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Sazlina Safie.

Chin Swee Heung, 53, didakwa atas lima pertuduhan; Lai Seng Wah, 44, dan Tong Thin Fook, 60, masing-masing dua pertuduhan manakala Chua Seng Wen, 64, didakwa atas satu pertuduhan.

Menurut kertas pertuduhan, Thin Fook didakwa atas dua pertuduhan memperoleh hasil daripada aktiviti haram yang keseluruhannya bernilai RM454,365.50.

Ia adalah hasil daripada penjualan buah durian dari tanah Hutan Simpan yang diberi permit penggunaan kepada Perbadanan Kerajaan Negeri Pahang dan tanah milik Kerajaan Pahang yang diusahakan tanpa kebenaran yang sah daripada pihak berkuasa negeri.

Dalam pada itu, Swee Heung yang didakwa atas lima pertuduhan didakwa memperoleh hasil daripada aktiviti haram yang keseluruhan berjumlah RM48,774, Seng Wah dengan dua pertuduhan berjumlah RM40,245 manakala Seng Wen didakwa atas satu pertuduhan berjumlah RM15,945 dengan memperoleh hasil daripada aktiviti haram.

Kesalahan itu dilakukan di beberapa lokasi di Kampung Sungai Klau, Sungai Klau dan Sungai Ruan di Raub antara 4 Julai 2024 hingga 7 Oktober tahun ini.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ezuain Farhana Ahmad manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Muhammad Amirul Afiqq Mohamad Lokman.

Dalam prosiding Ezuain Farhana mencadangkan jaminan antara RM20,000 dan RM50,000 kepada empat tertuduh dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Hakim kemudiannya menetapkan jaminan RM20,000, masing-masing kepada setiap tertuduh dengan syarat tambahan dan mahkamah menetapkan 9 Disember depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI