KUALA LUMPUR – ASEAN kini muncul sebagai blok serantau yang semakin kukuh, bebas dan berdaulat, sekali gus memainkan peranan strategik dalam landskap geopolitik dunia yang kian berubah.
Kejayaan ini diterjemahkan menerusi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dengan Malaysia sebagai pengerusi bagi edisi 2025 yang melabuhkan tirainya semalam.
Persidangan penuh prestij itu menonjolkan kesepakatan kukuh negara anggota dalam memperkasa kerjasama dan menangani cabaran global dengan ASEAN menyambut keanggotaan penuh Timor Leste sebagai anggota ke-11, menandakan pengukuhan struktur komuniti serantau.
Kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri China, Li Qiang dalam edisi kali ini memperlihatkan kepentingan ASEAN sebagai penentu hala tuju geopolitik Indo-Pasifik, selain menjadi platform utama bagi menjamin kestabilan ekonomi dan keselamatan serantau.
Kemunculan dua kuasa besar di atas pentas yang sama menyaksikan Malaysia melakar sejarah baharu sebagai negara tuan rumah bagi persidangan berprestij itu.

Dalam konteks ini, penyelesaian konflik sempadan Kemboja-Thailand melalui mekanisme ASEAN dengan menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur mengukuhkan imej ASEAN sebagai platform untuk keselamatan serantau.
Ia membabitkan pelaksanaan gencatan senjata di zon sempadan, pembebasan 18 tahanan di Thailand dan operasi ranjau secara bersama.
Hasil daripada kesepakatan itu, AS turut bersetuju untuk mengikat perjanjian perdagangan antara Kemboja dan Thailand, bagi memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.
Malah, Trump yang berbangga dengan Malaysia menzahirkan perhargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi ‘orang tengah’ dalam usaha tersebut sekali gus mengekalkan keamanan serantau.
Dalam perkembangan berkaitan, AS dan ASEAN memperbaharui komitmen kerjasama yang menekankan isu keselamatan, transformasi digital, dan pembangunan inklusif, selain memberi jaminan bahawa Washington kekal komited di belakang blok serantau ini.
Malaysia terus memperkukuh kerjasama ekonomi dengan AS melalui perjanjian perdagangan yang membuka peluang pelaburan dan teknologi baharu, dengan Washington mengekalkan tarif sedia ada iaitu 19 peratus.
Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0 turut dimeterai yang menaik taraf aspek ekonomi digital dan e-dagang, ekonomi hijau dan tenaga boleh diperbaharui serta kemudahan perdagangan dan logistik rentas sempadan.
Bagi Malaysia, kerjasama ini memberi akses pasaran lebih luas, selain menarik pelaburan dari Beijing dan membolehkan negara ini berperanan sebagai pusat logistik utama ASEAN.
Selain itu, ASEAN turut memperkukuh hubungan dengan kerjasama dengan Asia Timur melibatkan AS, Republic of Korea, Jepun, China, India, Australia, New Zealand dan Russia.

Penganalisi Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa, Collins Chong Yew Keat berkata, kepengerusian kali ini menunjukkan pendekatan konsisten dan mengekalkan pendirian neutral serta menjalin hubungan baik dengan semua kuasa besar tanpa memilih mana-mana pihak.
Menurutnya, Malaysia yang bertindak sebagai pengerusi berjaya menyuntik nafas baharu untuk membawa ASEAN keluar daripada ‘kepompong’ lama sebagai rantau yang strategik.
Tambahnya, persaingan antara Washington dan Beijing semakin ketara dan ASEAN menjadi gelanggang utama untuk menentukan keseimbangan hala tuju rantau ini.

“Malaysia tidak menunjukkan tanda mahu keluar daripada dasar berkecuali. Namun, pendekatan yang lebih mesra ke arah Beijing sedikit sebanyak menimbulkan persepsi negatif di pihak barat.
“Dengan kehadiran Trump, mesej yang cuba dihantar Malaysia ialah jelas, iaitu hubungan dengan AS penting dan menjadi sebahagian daripada strategi pertahanan serta ekonomi negara.
“Ia satu pengiktirafan bahawa kerjasama dengan Washington kekal relevan,” katanya kepada Kosmo!.
Justeru, langkah ini bukan bertujuan menolak China, sebaliknya menyeimbangkan pengaruh dan memastikan ASEAN tidak terperangkap dalam permainan geopolitik mana-mana pihak.
Dengan berakhirnya sidang kali ini, Malaysia secara rasmi menyerahkan kepengerusian ASEAN kepada Filipina, menandakan kesinambungan kepimpinan serantau di pentas global.














