LONDON – Arsenal dijangka turun dalam keadaan tempang menjelang pusingan keempat Piala Liga Inggeris (EFL) menentang Brighton di Stadium Emirates awal pagi esok selepas tiga pemain utama mengalami kecederaan.
William Saliba, Declan Rice dan Riccardo Calafiori mungkin tidak berada dalam skuad ketika melayan kunjungan Seagulls apabila ketiga-tiga pemain itu masih belum cergas sepenuhnya.
Walaupun saingan EFL tidak menjadi keutamaan Arsenal musim ini selepas mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), namun Arteta tetap memandang serius pertandingan tersebut.
“Berhubung William (Saliba), ada dua sebab yang menyebabkan kecederaan dialaminya, manakala Declan (Rice), saya tidak begitu tahu secara menyeluruh tetapi ia disebabkan perlanggaran ketika dalam perlawanan.
“Sama ada (kecederaan) betis ataupun achilles, saya belum dapat kepastian. Kami akan tunggu perkembangan daripada pasukan perubatan sama dia boleh bermain menentang Brighton ataupun tidak,” katanya.
The Gunners selesa menghuni tangga teratas EPL selepas menang ke atas Crystal Palace pada Ahad lalu dengan kelebihan empat mata ke atas pasukan tangga kedua, Bournemouth.
Bagaimanapun, Arteta tidak mahu pemain-pemainnya mengambil mudah cabaran EFL memandangkan beliau mengharapkan Arsenal mencatat kemenangan bagi meneruskan momentum terbaik.
“Kami berada di kedudukan yang sepatutnya dan kredit kepada semua pemain atas aksi konsisten. Saya mahu mereka kekal fokus dan menang semua perlawanan, tidak kira pertandingan apa pun,” ujarnya. – AGENSI














