PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar menunjukkan kepimpinan yang berwawasan, berani dan berjiwa besar sepanjang Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, sepanjang tempoh itu, Perdana Menteri telah memperkukuhkan perpaduan ASEAN.
Menurut beliau, sepanjang kepengerusian ASEAN oleh Malaysia juga, Anwar telah memperluaskan kerjasama dengan rakan serantau dan global.
Justeru, katanya, Malaysia menutup tirai Kepengerusian ASEAN Ke-47 semalam dengan penuh rasa syukur dan kebanggaan.
“Kini baton kepengerusian diserahkan kepada Presiden Filipina semoga ASEAN terus maju dan kekal utuh dalam mendepani cabaran masa depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Na’im berkata, ucapan tahniah juga perlu diberikan kepada seluruh rakyat Malaysia yang bersama menjayakan misi diplomasi Madani dengan penuh dedikasi dan semangat kebangsaan. – KOSMO! ONLINE














