ALOR SETAR – Jumlah mangsa banjir di negeri ini tidak banyak berubah apabila seramai 764 orang daripada 214 keluarga masih berlindung di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Pendang, Kota Setar dan Pokok Sena setakat pukul 12 tengah hari ini.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah, Pendang masih merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu seramai 580 orang daripada 162 keluarga ditempatkan di tiga PPS.
“Ia diikuti seramai 138 orang daripada 38 keluarga di satu PPS di Kota Setar dan 46 orang daripada 14 keluarga, juga di satu PPS di Pokok Sena,” katanya di sini hari ini. Sementara itu, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di tujuh daerah di negeri ini sehingga pukul 2 petang ini.
Ia melibatkan daerah Kota Setar, Pokok Sena, Kubang Pasu, Yan, Pendang, Langkawi dan Kuala Muda. – KOSMO! ONLINE














