MELAKA – Sebanyak 45 daripada 73 syarikat pengendali bas dan lori di negeri ini gagal dalam Sistem Audit dan Pemeriksaan Keselamatan JPJ (JISA) setakat Oktober, sekali gus menunjukkan tahap pematuhan keselamatan masih rendah dalam kalangan pengusaha kenderaan perdagangan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Siti Zarina Mohd. Yusop berkata, daripada jumlah itu, lapan syarikat digantung lesen pengendali selepas gagal mematuhi syarat ditetapkan sepanjang proses pengauditan.
Beliau berkata, tindakan tersebut diambil hasil penguatkuasaan di bawah Seksyen 230 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) yang membolehkan lesen digantung atau dibatalkan jika syarikat melanggar peraturan keselamatan.
“Pengauditan ini dilaksanakan melalui empat kategori utama iaitu Audit Kemalangan Jalan Raya, Audit Berkala dan Besasar, Audit Susulan atau Pasca Tindakan serta Audit Aduan.
“Audit JISA dilaksanakan bagi memastikan syarikat pengendali mematuhi aspek keselamatan serta pengurusan operasi kenderaan perdagangan dan awam,” katanya selepas menghadiri Program Lelongan Awam Kenderaan Lucut Hak Bil. 2/2025 di Dewan Tun Fatimah, Bukit Katil, hari ini.
Tambahnya, semua syarikat pengendali diwajibkan mematuhi tujuh perkara mandatori bagi mengelakkan penggantungan atau pembatalan lesen oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Antaranya termasuk melantik pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan, memasang serta memantau sistem GPS pada semua kenderaan.
“Selain itu memastikan tempoh pemanduan tidak melebihi lapan jam sehari, menyediakan pelan tindakan keselamatan (ERP) serta memaparkan nombor hotline syarikat pada kenderaan bagi tujuan aduan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














