fbpx
VINICIUS (kiri) tidak gembira dengan keputusan Alonso mengeluarkannya di pertengahan babak kedua menentang Barcelona kelmarin. - AFP

Vinicius ‘mengamuk’ cemari El Clasico

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MADRID – Bintang sensasi Real Madrid, Vinicius Junior mencetuskan drama di penghujung El Clasico apabila berang selepas digantikan oleh pengendali, Xabi Alonso meskipun menjadi tonggak utama kemenangan 2-1 ke atas Barcelona di Santiago Bernabeu kelmarin.

Penyerang antarabangsa Brazil itu dikeluarkan pada minit ke-71 bagi memberi ruang kepada Rodrygo dan dilihat terus menuju ke bilik persalinan tanpa bersalaman dengan Alonso mahupun rakan sepasukan lain.

Bukan itu sahaja, Vinicius, 25, turut dilihat bergaduh dengan bintang Barcelona, Lamine Yamal selepas tamat perlawanan yang menyaksikan Real menang hasil dua jaringan daripada Kylian Mbappe dan Jude Bellingham.

Sikapnya itu menimbulkan tanda tanya kerana Vinicius memainkan peranan besar membantu jaringan kemenangan apabila larian serta hantaran silang bahaya daripadanya mencetuskan kekalutan di depan gawang Barcelona.

Difahamkan, hubungan antara Alonso, 42, dan Vinicius sudah lama tegang sejak legenda Sepanyol itu dilantik mengambil alih pasukan pada Mei lalu apabila kerap mengeluarkannya lebih awal musim ini biarpun sering tampil berbahaya di bahagian sayap kiri.

Dalam aksi penuh emosi itu, Vinicius jelas menjadi ancaman utama kepada Barcelona apabila beberapa kali memperdaya Jules Kounde serta memprovokasi penyokong tuan rumah untuk menaikkan semangat.

Alonso bagaimanapun enggan memanjangkan isu tersebut dan lebih memilih untuk menumpukan kepada kejayaan penting pasukannya memadam rekod empat kekalahan berturut-turut dalam El Clasico.

“Pasukan sangat bermotivasi dan kemenangan ini amat penting, bukan sahaja kerana tiga mata tetapi untuk mengembalikan keyakinan kami. Saya gembira kerana mereka telah membuktikan mampu menang dalam perlawanan besar,” kata Alonso. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI