KUALA LUMPUR – Ketika suaminya Kamal Adli mahu terus mempertahankan rumah tangga, pelakon Uqasha Senrose sebaliknya kekal nekad untuk meneruskan prosiding perceraian yang difailkan pada 1 Oktober lalu.
Peguam syarie yang mewakili Uqasha, Muhammad Syazmee Sapian berkata, anak guamnya berhasrat untuk memberi ruang kepada proses mahkamah berjalan seperti sepatutnya sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Kalau ada kebaikan, pihak kami masih akan teruskan prosiding perceraian dan lihat perkembangannya nanti.
“Sekiranya ada kebaikan, saya harap masyarakat dan netizen sama-sama doakan.
“Sebab tiada siapa yang nak berkahwin tetapi bercerai, semoga ada kebaikan yang boleh kita cari dalam kes ini,” katanya kepada Kosmo! Online selepas prosiding kedua di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.
Mengenai sama ada masih mahu mempertahankan rumah tangganya, Uqasha enggan memberi sebarang kenyataan berkaitan perkara tersebut.
Dalam masa sama, Muhammad Syazmee juga turut berharap agar kedua-dua pihak menemui penyelesaian terbaik dalam kemelut rumah tangga yang berlaku.
“Kita doakanlah yang terbaik untuk kedua-dua pihak.
“Semoga ada sinar kebaikan, sama ada ke arah perdamaian atau apa jua keputusan selepas ini. Kita tunggu prosiding seterusnya,” ujarnya.
Hari ini, mahkamah turut menetapkan 19 November depan sebagai tarikh baharu untuk sebutan semula kes.
Difahamkan, kes tersebut difailkan mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, iaitu permohonan perceraian dengan alasan tiada persefahaman antara suami isteri.
Kamal yang ditemui di mahkamah hari ini juga menegaskan masih akan berusaha memujuk dan mempertahankan rumah tangganya.
Dia juga menolak dakwaan mengasari isteri dan tidak pernah berlaku curang terhadap Uqasha.
Terdahulu, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober lalu dan prosiding pertama berlangsung pada 22 Oktober 2025.
Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia 18 bulan. – KOSMO! ONLINE














