KUALA LUMPUR – “Bagaimana orang agama boleh begitu? Tak tahu fakta terus hukum munafik, maksiat,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab tuduhan berlaga pipi dengan salah seorang isteri pemimpin luar negara.
Beliau berkata, tuduhan tersebut tidak berasas dan pihak berkenaan tidak boleh menghukumnya tanpa usul periksa.
“Ada sesetengah ustaz yang belajar agama, tanyalah dulu. ‘Anwar pegang, cium pipi’ (dakwaan). Tak ada sentuh pun, ambil gambar belah kanan (gambar tersebar). Bagaimana orang agama boleh begitu?,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media khas Penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Anwar turut menjawab persoalan segelintir pihak yang mengkritik beliau susulan kedatangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke negara ini.
“Kerja dia bangkang, tapi dalam hal ini semua negara macam kita. Pasal jemput Trump, (mereka kata) ‘jangan jemput, dia ini dilaknat Allah. Siapa yang menyokong, dia samalah dilaknat’.
“Inilah negara kita jadi bahan. Tak boleh macam tu, Malaysia ini jadi tumpuan dunia, seluruh negara perhati Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE














