PETALING JAYA – Nama Malaysia yang disebut dalam rancangan bual bicara popular Amerika Syarikat, The Tonight Show Starring Jimmy Fallon mencuri perhatian pengguna media sosial tempatan.
Dalam segmen rancangan tersebut, hos terkenal, Jimmy Fallon menyelitkan gurauan mengenai lawatan rasmi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Asia.
“Hari ini, Presiden Trump tiba di Malaysia untuk memulakan lawatannya ke Asia. Tiba di Malaysia, beliau berkata “Cantik betul tempat ni, satu negara dinamakan sempena nama isteri saya. Tak sangka betul”,” katanya yang disambut ketawa penonton. Jenaka spontan itu mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial tempatan yang rata-ratanya terhibur apabila nama Malaysia disebut dalam rancangan antarabangsa terkenal itu.
“Gembira saya nama Malaysia disebut oleh Jimmy,” komen Vyvien HHL.
“Malaysia berdiri di mata dunia, terima kasih kepada Jimmy,” kata Andysiti.
“Sebagai rakyat Malaysia, terima kasih kepada Jimmy sebab menghiburkan saya tentang trip Donald Trump ke Asia,” komen Kinta Minami.
Jimmy Fallon merupakan pelawak, pelakon, pengacara, penyanyi, penulis dan penerbit terkenal yang mengetuai rancangan bual bicara lewat malam The Tonight Show Starring Jimmy Fallon di rangkaian NBC sejak tahun 2014.
Beliau dikenali dengan gaya santai serta segmen parodi yang sering menampilkan tetamu selebriti dunia. – KOSMO! ONLINE














