PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan tindakan mendakwa dua guru sekolah menengah di Pulau Pinang kerana merotan seorang pelajar sehingga cedera bukan bertujuan merendahkan profesion perguruan, sebaliknya bagi memastikan hak dan kebajikan pelajar sentiasa dilindungi.
Dalam kenyataannya hari ini, AGC memaklumkan, keputusan itu diambil selepas penelitian menyeluruh terhadap hasil siasatan yang mendapati terdapat asas mencukupi bahawa kedua-dua guru berkenaan bertindak melampaui peraturan yang ditetapkan.
“Keputusan ini (mendakwa) dibuat setelah penelitian menyeluruh terhadap hasil siasatan yang mendapati terdapat asas yang mencukupi bahawa kedua-dua orang guru yang dituduh tersebut telah melakukan tindakan melampaui peraturan yang ditetapkan.
“Sehubungan itu, AGC mengambil tindakan pendakwaan agar perlindungan terhadap kesejahteraan kanak-kanak sentiasa terpelihara dan tiada yang mengambil tindakan melampaui batasan undang-undang yang ada,” kata kenyataan itu.
Ujar kenyataan itu lagi, pertuduhan tersebut dikemukakan bukan bertujuan untuk merendahkan martabat profesion perguruan, sebaliknya dibuat setelah mempertimbangkan pelbagai faktor, termasuk hak dan kebajikan pelajar terlibat yang merupakan pelajar berkeperluan khas (OKU).
“Keputusan ini dibuat setelah penelitian menyeluruh terhadap hasil siasatan yang mendapati terdapat asas yang mencukupi bahawa kedua-dua orang guru yang dituduh tersebut telah melakukan tindakan melampaui peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Tambah kenyataan itu, AGC mengiktiraf peranan besar guru dalam mendidik dan membentuk generasi bangsa dan pada masa sama, kekal komited bagi memastikan setiap tindakan yang diambil adalah adil, seimbang dan berlandaskan prinsip undang-undang demi melindungi kepentingan semua pihak, khususnya kanak-kanak dan golongan rentan.
Sebelum ini media melaporkan dua guru Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) di Georgtown, Pulau Pinang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan merotan seorang pelajar sehingga cedera.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda, sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut. – KOSMO! ONLINE














