fbpx
Azalina (tengah) menyaksikan penyerahan jawatan Pengerusi ASEAN-PAC daripada Fitroh Rohcahyanto (kiri) kepada Azam di Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/KOSMO!

Perjuangan menentang rasuah perlu digalas secara kolektif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Malaysia terus komitmen teguh memperkukuh integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam tadbir urus kerajaan, seiring usaha bersama negara-negara ASEAN membanteras rasuah di peringkat serantau.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata perjuangan menentang rasuah perlu digalas secara kolektif.

Beliau berkata, penglibatan semua pihak termasuk kerajaan, sektor swasta, masyarakat sivil dan rakyat perlu bagi memastikan kemajuan serantau tidak dicemari oleh salah guna kuasa.

“Pertumbuhan pesat ekonomi, teknologi dan sosial di rantau ASEAN mesti dipandu oleh nilai keadilan dan integriti. Apabila rasuah menjejaskan kepercayaan, ia melemahkan tadbir urus, memecahbelahkan masyarakat dan menghakis semangat perpaduan ASEAN yang kita junjung,” katanya pada ucaptama Majlis Pembukaan Mesyuarat Prinsipal ASEAN-PAC ke-21 di Sunway Resort Hotel, di sini hari ini.

Beliau berkata, tema mesyuarat kali ini, Memperkukuh Perpaduan ASEAN: Kerjasama Awam-Swasta Dalam Memerangi Rasuah mencerminkan hakikat bahawa integriti adalah tanggungjawab bersama semua lapisan masyarakat.

Menurut Azalina, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema Keterangkuman dan Kelestarian komited memperkukuh kerjasama rentas sempadan melalui platform ASEAN-PAC yang kini menjadi mekanisme penting dalam usaha tadbir urus baik dan pembelajaran bersama negara serantau.

“Agenda reformasi kerajaan di bawah portfolio Undang-Undang dan Reformasi Institusi terus menekankan nilai integriti sebagai teras utama pentadbiran. Kita memperkukuh rangka perundangan, menggalakkan kebebasan institusi dan melaksanakan program kesedaran bagi memupuk kepimpinan beretika serta tanggungjawab sivik,” katanya.

Azalina berkata, semua anggota ASEAN-PAC perlu menjadikan mesyuarat kali ini sebagai wadah untuk berkongsi amalan terbaik, idea berani serta penyelesaian inovatif bagi memperkasakan institusi agar lebih berdaya tahan dan responsif terhadap cabaran baharu.

“Perpaduan ASEAN tidak ditakrifkan oleh persamaan, tetapi oleh keyakinan bersama bahawa integriti memperkukuh negara dan keadilan memelihara keamanan,” katanya.

Terdahulu, Azalina menyaksikan penyerahan jawatan Pengerusi ASEAN-PAC daripada Naib Pengerusi Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah Indonesia, Fitroh Rohcahyanto kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI