REMBAU – Seorang pemandu ambulans maut apabila terbabit dalam nahas tiga buah kenderaan gara-gara anjing melintas mengejut di kilometer 43.7 jalan Seremban – Tampin, berhampiran Taman Salam Nadiah, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Hasani Hussain berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.10 pagi itu, mangsa iaitu lelaki berusia 27 tahun menunggang motosikal jenis Suzuki FU150 disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik di lokasi kejadian kerana pendarahan dalaman.
Menurutnya, selain motosikal mangsa, kemalangan membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Subaru XV 2.0 dipandu lelaki 39 tahun dan kereta jenis Atos Micro yang dipandu lelaki berusia 46 tahun. “Siasatan mendapati berdasarkan keterangan awal pemandu SUV dan siasatan di tempat kejadian, kemalangan dipercayai berpunca daripada tindakan pemandu yang mengelak ke kanan secara tiba-tiba setelah seekor anjing melintas keluar dari simpang Taman Salam Nadiah.
“Akibat daripada tindakan tersebut telah menyebabkan motosikal mangsa yang datang dari arah yang sama tidak sempat membrek serta melanggar bahagian pintu sebelah kanan belakang kenderaan.
“Mangsa kemudiannya terbabas ke sebelah kanan jalan sebelum melanggar bahagian hadapan sisi kiri Atos Micro dari arah bertentangan. Akibat dari kemalangan berkenaan, mangsa mengalami kecederaan parah dipercayai pendarahan dalaman bahagian kepalabmeninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Ujar Hasani lagi, pemandu dua buah kenderaan lagi tidak mengalami kecederaan dan punca kemalangan disebabkan SUV mengubah haluan secara tiba-tiba hingga menyebabkan motosikal terbabas.- KOSMO! ONLINE














