fbpx
SAINGAN Moto3 terpaksa ditangguhkan hampir dua jam ekoran kemalangan itu, namun perlumbaan itu tetap diteruskan.

Pelumba MotoGP pertikai aksi diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Penganjuran Grand Prix (GP) Malaysia dicemari kontroversi apabila beberapa bintang MotoGP secara terbuka mempersoal keputusan meneruskan perlumbaan Moto3 selepas kemalangan ngeri yang menyebabkan pelumba Switzerland, Noah Dettwiler mengalami kecederaan serius.

Juara dunia MotoGP musim lalu, Francesco Bagnaia, menyifatkan keputusan itu sebagai tidak wajar, terutamanya selepas para pelumba muda terutama Moto3 terpaksa menyaksikan dua rakan mereka diterbangkan dengan helikopter untuk mendapatkan rawatan.

“Bukan idea yang baik untuk membenarkan pelumba muda berlumba selepas melihat dua rakan mereka dibawa dengan helikopter. Saya tidak faham keputusan ini,” kata bintang Ducati itu.

Kritikan itu turut disokong oleh rakan senegaranya, Marco Bezzecchi, yang mengeluh tentang kekurangan maklumat yang diberikan oleh MotoGP mengenai keadaan sebenar Dettwiler dan seorang lagi pelumba terlibat, Jose Antonio Rueda ketika itu.

“Sangat sukar untuk memulakan perlumbaan (kelmarin) tanpa mengetahui keadaan mereka. Saya rasa kami berhak mendapat penjelasan yang lebih terperinci tentang apa yang sebenarnya berlaku,” ujarnya.

Bagi pelumba Itali, Litar Antarbangsa Sepang sentiasa membangkitkan kenangan pahit selepas kemalangan tragis Marco Simoncelli pada GP Malaysia 2011, menjadikan mereka lebih sensitif terhadap isu keselamatan.

Kritikan itu tercetus selepas Dettwiler, 20, dirempuh dengan kuat oleh Rueda ketika sedang melakukan pusingan sighting lap sebelum ke grid permulaan.

Akibat rempuhan itu, laporan media Switzerland menyebut, Dettwiler mengalami kecederaan parah termasuk kehilangan banyak darah, beberapa kali serangan jantung, kerosakan pada paru-paru dan limpa, serta patah kaki.

Pasukan CIP Green Power, yang menaungi Dettwiler, telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi dan mengesahkan bahawa pelumbanya itu perlu menjalani beberapa pembedahan.

Terdahulu, pasukan diwakili Rueda, Red Bull KTM Ajo memaklumkan pelumba itu sedang menerima rawatan dan disahkan tidak mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala atau badan walaupun mengalami gegaran teruk akibat hentakan ketika kemalangan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI