MELAKA – Dua pegawai bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh tuduhan menerima suapan masing-masing RM50,581.51 dan RM8,000 bagi memproses permohonan pembiayaan peribadi melebihi had kelayakan pelanggan.
Tertuduh, Syamime Hazreen Bahrin, 37, dan Nursyafiqah Abdul Latif, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Mengikut lima pertuduhan yang dihadapi Syamime, dia yang masih bertugas sebagai penasihat kewangan di sebuah bank di Kuala Lumpur didakwa menerima suapan RM50,581.51 secara pindahan dalam talian ke dalam akaun bank miliknya.
Wang itu merupakan upah kerana membantu memproses permohonan pembiayaan pinjaman peribadi lima pelanggan secara serentak di beberapa instistusi kewangan yang mana menyebabkan pelanggan tersebut mempunyai beberapa pinjaman peribadi melebihi had kelayakan mereka.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Jalan Hang Tuah pada 8 Disember 2022 hingga 15 Julai 2024.
Sementara itu, Nursyafiqah yang ketika itu bertugas sebagai eksekutif pembiayaan pengguna di sebuah bank cawangan Ampang Point berdepan dua tuduhan secara rasuah menerima RM8,000 daripada seorang lelaki secara pindahan dalam talian ke dalam akaun bank miliknya atas kesalahan sama.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Masjid Tanah, Alor Gajah pada 7 Ogos 2023 dan 9 September 2023.
Kedua dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. Sabit kesalahan, tertuduh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan jaminan RM20,000 hingga RM25,000 terhadap Syamime dan RM7,000 bagi Nursyafiqah.
Sharina turut memohon syarat tambahan dikenakan iaitu kedua-dua tertuduh perlu melaporkan diri ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya sebulan sekali, selain menyerahkan pasport antarabangsa ke mahkamah.
Peguam Emile Ezra Hussain dan M. Manoharan bagaimanapun memohon agar jumlah itu dikurangkan.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, Elesabet membenarkan jaminan RM15,000 terhadap Syamime dan RM7,000 bagi Nursyafiqah selain syarat tambahan. Beliau menetapkan 3 Januari 2026 untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.- KOSMO! ONLINE














