KUALA LUMPUR – Sepasang kekasih yang aktif mengedar dadah sejak Ogos lalu ditahan bersama 18.5 kilogram (kg) bunga ganja di kawasan parkir sebuah kondominium di Jalan Klang Lama, di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pasangan berusia 47 dan 56 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur kira-kira pukul 3.20 petang.
“Pemeriksaan ke atas kereta Proton Exora yang dinaiki mereka menjumpai bungkusan berisi dadah dianggarkan bernilai RM553,500. Dadah itu dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang dan boleh dibekalkan kepada 37,000 pengguna,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Fadil, siasatan awal mendapati sindiket itu menjadikan kawasan tempat letak kenderaan kondominium sebagai lokasi utama untuk urusan jual beli bagi mengelak kegiatan dikesan pihak berkuasa.
“Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah, namun suspek lelaki mempunyai dua rekod di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 Akta Kesalahan Kecil 1952,” katanya.
Katanya, pasangan itu direman selama enam hari sehingga 31 Oktober ini bagi membantu siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE














