KUALA LUMPUR – Malaysia menamatkan kepengerusiannya dalam ASEAN dengan menyerahkan tanggungjawab itu kepada Filipina bagi edisi 2026.
Majlis Penyerahan Kepengerusian ASEAN 2026 itu berlangsung sebentar tadi pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Penyerahan tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Presiden Filipina, Ferdinand R. Marcos Jr. Ini kali keempat Filipina menjadi Pengerusi ASEAN dengan kali terakhir adalah pada tahun 2017.
Terdahulu, Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ menjadi antara terbesar dalam sejarah ASEAN serta berlangsung di KLCC.
Acara kali ini turut menyaksikan penyertaan aktif Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN selepas ia dimuktamadkan pada sidang kali ini.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 turut menerima kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Perdana Menteri China, Li Qiang, Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa dan Perdana Menteri wanita pertama Jepun, Sanae Takaichi
Pemimpin lain yang hadir sidang kali ini ialah Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva bersama isteri Rosangela Lula da Silva, Naib Perdana Menteri China, He Lifeng, Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa dan isteri Dr. Tshepo Motsepe serta Presiden Timor-Leste, Jose Ramos-Horta dan Perdana Menteri, Kay Rala Xanana Gusmao.
Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sejak penubuhan blok serantau itu pada 1967 selepas 2015, 2005, 1997 dan 1977. – KOSMO! ONLINE














