KUALA LUMPUR – Serangan dan pembunuhan yang berlaku di Myanmar masih berlaku, namun ia dilaporkan berkurangan sejak Malaysia mempengerusikan ASEAN tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini susulan campur tangan oleh ASEAN dalam usaha untuk menghentikan segala serangan dan pembunuhan akibat konflik di Myanmar.
Menurutnya, pada masa sama ASEAN tidak akan berganjak dengan keputusan Konsensus Lima Perkara dalam menyelesaikan isu-isu yang berlaku di negara tersebut. “Sejak setahun kita campur tangan, beri amaran kepada mereka untuk hentikan serangan. Ada satu, dua peristiwa. Tetapi tidak seperti dua, tiga tahun lalu. Kampung dihancurkan, pembunuhan berlaku dan pelarian ratusan ribu rakyat.
“Masih berlaku (serangan), masih kita kesalkan, tetapi jauh lebih kurang daripada yang pernah (dilaporkan),” katanya pada sidang media khas sempena Penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Anwar berkata, sehubungan itu, hubungan diplomatik tetap diteruskan oleh ASEAN dalam usaha menyelesaikan konflik yang berlaku negara berkenaan.
“Bertemu dengan pemimpin-pemimpin di Myanmar, jadi ini menunjukkan persediaan kita mengadakan hubungan baik. Tetapi kita tidak berganjak dengan syarat. Kita masih terikat dengan Konsensus Lima Perkara,” katanya.
Konsensus Lima Perkara ialah rangka kerja atau dasar bersama yang dipersetujui semua negara anggota ASEAN untuk mewujudkan penyelesaian aman terhadap konflik di Myanmar khususnya selepas rampasan kuasa tentera pada 1 Februari 2021.
Motif konsensus itu supaya situasi di Myanmar diuruskan secara kolektif, selain ASEAN menunjukkan kredibiliti diplomasi dan tanggungjawab serantau. – KOSMO! ONLINE














