fbpx
Ahmad Zahid ketika mengadakan pertemuan bersama Luxon pada Majlis Halal ASEAN hari ini. Foto Facebook AHMAD ZAHID

Malaysia, New Zealand perkukuh diplomasi halal serantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Malaysia dan New Zealand sepakat memperkukuh kerjasama dalam industri halal apabila negara itu menyatakan hasrat untuk menyertai Majlis Halal ASEAN (ASEAN Halal Council), platform penting bagi menyeragamkan piawaian halal serantau serta meningkatkan daya saing global industri tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon, menegaskan komitmen negaranya terhadap usaha tersebut.

Jelas Ahmad Zahid, Luxon menyatakan bahawa ‘halal assurance is not just market access; it’s a value system rooted in ethics, sustainability and inclusivity’ (Jaminan halal bukan sekadar akses pasaran, ia adalah satu sistem nilai yang berteraskan etika, kelestarian dan keterangkuman).

Katanya, ungkapan itu mencerminkan kesepakatan nilai antara Malaysia dan New Zealand bahawa halal bukan sekadar pensijilan, sebaliknya satu ekosistem ekonomi bernilai tinggi yang berpotensi besar di peringkat global.

“Alhamdulillah, Malaysia terus memainkan peranan sebagai peneraju global dalam industri halal.

“Melalui pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan rangkaian Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia yang diiktiraf di seluruh dunia, Malaysia kekal sebagai penanda aras utama standard halal antarabangsa,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, kerjasama tersebut juga sejajar dengan aspirasi kedua-dua negara untuk meningkatkan perdagangan dua hala sebanyak 50 peratus menjelang 2030, selain memperkukuh hubungan ekonomi dan diplomatik berasaskan persahabatan, nilai kemanusiaan serta saling menghormati.

“Insya-Allah, melalui diplomasi halal ini, Malaysia dan New Zealand akan terus mengorak langkah bersama membina jambatan kepercayaan, memperluas jaringan ekonomi.

“(Selain itu mampu) memartabatkan nilai-nilai sejagat yang menjadi tunjang kepada kesejahteraan dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI