KUALA LUMPUR – Kedutaan Palestin di Malaysia menzahirkan penghargaan terhadap pendirian tegas kerajaan Malaysia yang menjadikan isu Palestin sebagai keutamaan dalam agenda ASEAN.
Ini termasuk dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri serta penubuhan sebuah negara merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Katanya, melalui pendirian itu, Malaysia terus memainkan peranan penting dalam memajukan keadilan, mempertahankan hak yang sah dan mempromosikan keamanan menyeluruh serta berkekalan di pentas antarabangsa.
“Kedutaan memuji Malaysia kerana meletakkan isu Palestin sebagai teras agenda ASEAN dan mengesahkan semula sokongan bersejarah serta tidak berbelah bahagi untuk hak yang tidak boleh dipisahkan rakyat Palestin,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Pihak kedutaan turut menzahirkan penghargaan yang mendalam terhadap kepimpinan Malaysia yang berinspirasi dan berwawasan sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Katanya, tindakan itu meninggalkan kesan transformatif mendalam di peringkat serantau, seluruh dunia Islam dan pentas antarabangsa.
“Pendirian Malaysia yang teguh dan berprinsip terhadap isu serantau dan global, disertai dengan pendekatan diplomasi yang inklusif dan berpandangan jauh, berjaya mengangkat kedudukan ASEAN di peringkat global serta memperkukuh kerjasama pelbagai hala,” katanya. – KOSMO! ONLINE














