ABUJA – Seorang senator Nigeria, Ned Nwoko menjadi perhatian ramai kerana menyindir golongan suami di negara itu yang cuma mempunyai seorang isteri, lapor laman berita Premium Times semalam.
Ahli politik berusia 64 tahun itu kembali menjadi tajuk berita, 10 hari selepas isteri keenamnya, Regina Daniels menuduh beliau memukul wanita tersebut.
Ned menafikan dakwaan tersebut, sebaliknya menyalahkan tingkah laku pelakon berusia 25 tahun itu terhadap penyalahgunaan dadah, selain menggambarkan isterinya itu sebagai seorang yang ganas dan merosakkan.
“Lelaki yang hanya mempunyai seorang isteri amat rugi,” kata Ned di tengah-tengah kemelut rumah tangga dengan Regina.
Kenyataan itu dibuat susulan rakaman temu bual tahun 2020 yang kembali tular di mana beliau menyatakan sokongan penuh terhadap poligami dan mengisyaratkan hasrat untuk mempunyai lebih ramai isteri.
Beliau turut mendedahkan hasrat untuk berkahwin lagi sambil menjelaskan bahawa Regina sudah mengetahui pendiriannya.
Katanya, beliau berasal daripada keluarga poligami dan mempunyai kasih yang mendalam terhadap kanak-kanak. – AGENSI














