SHAH ALAM – Seorang Lans Koperal polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan mencabul pelatih praktikal, April lalu.
Tertuduh, Muhamad Nuri Bahrun, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.
Muhamad Nuri didakwa dengan sengaja telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 22 tahun dengan maksud hendak mencabul kehormatan mangsa di bilik jurufoto Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya kira-kira pukul 3.38 petang, 23 April lalu. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada hukuman itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Khawarizmi Azfar mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000 dan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi.
Peguam Vasu Appu bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan memandangkan anak guamnya yang bertugas di cawangan trafik hanya berpendapatan RM2,800 sebulan dan telah mendirikan rumah tangga.
“Dia kakitangan kerajaan dan tidak akan melarikan diri selain tinggal di berek polis,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin selain membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan.
Sebutan semula kes pada 28 November depan. – KOSMO! ONLINE














