SEBERANG PERAI – Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan enam individu termasuk lima warga asing dalam serbuan ke atas sebuah kilang yang menjalankan aktiviti memproses komponen e-waste secara haram di Jalan Bukit Tambun, Juru di sini ,semalam.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, serbuan menerusi Op Hazard itu dijalankan dengan bantuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah serta Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah.
Katanya, operasi yang bermula sekitar 9 pagi sehingga 6 petang itu mendapati kilang berkenaan telah beroperasi sejak tiga minggu lalu. “Tangkapan meliputi seorang lelaki tempatan, seorang lelaki dan wanita warga China dan tiga wanita Myanmar yang masing-masing berusia antara 22 hingga 55 tahun.
“Anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM 22,336,167 merangkumi pelbagai kelengkapan termasuklah 454,000 kilogram e-waste siap dilerai, mesin penapis sisa buangan, mesin pencuci sisa buangan dan mesin kompresor,” katanya di sini, hari ini.
Jelas beliau, rampasan lain turut melibatkan sebuah ‘forklift’, motolori dan wang tunai berjumlah RM6,147 dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 (1A) Akta Kualiti Sekeliling 1974.
“Kita akan terus mempergiatkan rondaan dan pengawasan di sekitar negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis bagi mengekang aktiviti jenayah pemprosesan sisa E-waste.
“PGA komited untuk mengambil tindakan tegas serta tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE














