KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengecam tindakan sesetengah pihak yang melakukan kritikan serta ugutan melampau sehingga menimbulkan rasa takut dalam kalangan pemain-pemain negara.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, badan induk itu tidak boleh berdiam diri dengan perkara tersebut dan akan melakukan apa yang termampu bagi menjaga kebajikan setiap pemain.
Bagi beliau, perkara sedemikian tidak boleh dibiarkan kerana boleh mengganggu moral pemain selain menegaskan, BAM terpaksa mengeluarkan kenyataan keras sebagai peringatan dan amaran kepada pihak berkenaan.
“Kita tidak boleh membiarkan perkara ini begitu sahaja, sebab itu BAM keluarkan kenyataan keras sebagai peringatan serta amaran kepada mereka yang suka melakukan ugutan kepada pemain.
“Kita tidak bercakap tentang komen membina tetapi ada komen hingga tahap ugutan bunuh orang seperti ‘saya tunggu di KLIA, itu sudah keterlaluan,” katanya.
Kelmarin, BAM mengeluarkan satu kenyataan bagi mengecam perbuatan pihak yang suka melakukan komen negatif serta ugutan terhadap pemain-pemain negara.
Sementara itu, Kenny memberitahu, BAM akan terus memantau isu tersebut serta mengikuti segala nasihat dan prosedur di bawah Akta Sukan Selamat (Safe Sport) bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pemain.
“Mungkin betul media sosial ini membuatkan segelintir pihak tidak dapat berfikir dengan rasional. Apabila bercakap, mereka seperti lupa batas dan sempadan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














