KUANTAN – Seorang kanak-kanak berumur empat tahun yang sedang bermain basikal maut selepas dilanggar sebuah kenderaan jenis Perodua Alza di Jalan Tanjung Lumpur berhampiran Surau Pak Mahat di sini semalam.
Mangsa Muhammad Zulfan Adwa Mohd Zulkifli,4, yang mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala meninggal dunia ketika di rawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu berlaku ketika kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun dalam perjalanan dari kawasan Perumahan Rakyat Pak Mahat menuju ke arah Tanjung Lumpur di sini. “Apabila tiba di tempat kejadian semasa membelok ke kiri secara tiba-tiba tanpa disedari kenderaan berkenaan telah melanggar mangsa yang sedang menunggang basikal di tengah jalan.
“Akibat kemalangan mangsa mengalami kecederaan dan telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan lanjut,”katanya di sini hari ini.
Tambahnya pada pukul 2.24 pagi tadi mangsa yang dirawat di HTAA disahkan meninggal dunia.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah simpang tiga dengan sistem jalan satu lorong dengan permukaan jalan rata.- KOSMO ! ONLINE














