ROM – Juventus berada pada titik terendah ketika ini apabila gagal mencatat kemenangan lapan perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan selepas tewas 0-1 kepada Lazio pada aksi Serie A di Stadio Olimpico awal pagi semalam.
Ia adalah kekalahan ketiga berturut-turut Juventus selepas terdahulu dikejutkan Como 0-2 sebelum tewas 0-1 kepada Real Madrid dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) minggu lalu.
Kali terakhir Juventus menang ketika menewaskan juara bertahan, Inter Milan 4-3 pada 14 September lalu dan sejak itu gergasi Itali tersebut seri enam perlawanan berturut-turut.
Bukan itu sahaja, Juventus juga gagal menjaringkan gol dalam empat perlawanan berturut-turut buat kali pertama sejak Februari dan Mac 1991 ketika dikendalikan oleh Luigi Maifredi.
Bagaimanapun, pengendali Juventus, Igor Tudor yang terus berdepan tekanan hebat mengenai masa depannya, enggan mencari alasan tetapi mengakui pasukannya berada dalam keadaan terburuk.
“Kami gagal jaringkan gol tetapi kami sudah mencuba pelbagai cara. Malangnya, kami bolos disebabkan kesilapan sendiri.
“Kami perlu terus bersatu untuk memulihkan keadaan buruk ini. Saya tidak perlukan alasan atau jaminan daripada pasukan tetapi satu kemenangan sahaja akan mengubah situasi kami,” katanya.
Gol tunggal Toma Basic seawal minit kesembilan menghadiahkan kemenangan buat Lazio ke atas Juventus yang kini jatuh ke tangga kelapan Serie A. – AGENSI=














