BATU PAHAT – Ibu bapa kepada kanak-kanak yang cedera di leher dipercayai dikelar dengan senjata tajam pagi semalam ditahan polis pukul 4 petang tadi di pekarangan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Batu Pahat bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kedua-duanya yang berusia 41 tahun ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.
“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu kesalahan membabitkan penganiayaan, pengabaian dan pembuangan atau pendedahan kanak-kanak. Ibu bapa kanak-kanak terbabit akan dibawa ke Mahkamah Batu Pahat esok untuk permohonan reman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Shahrulanuar berkata, mangsa yang diberi rawatan rapi di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini dilaporkan stabil serta sudah boleh bercakap dan pihak polis akan melengkapkan siasatan untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya. – KOSMO! ONLINE














