SUNGAI PETANI – Mahkamah Kanak-kanak di sini hari ini memerintahkan dua pelajar lelaki untuk menjalani hukuman bon berkelakuan baik selama dua tahun tanpa cagaran kerana menyebabkan kecederaan terhadap rakan sekolah, Julai lalu.
Majistret, Mohamad Azlan Basri membuat keputusan itu terhadap dua pelajar tingkatan tiga berkenaan menerusi prosiding yang dijalankan secara tertutup.
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu ibu kandung perlu menemani pelajar terbabit melapor diri di Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berdekatan, sebulan sekali sepanjang tempoh bon, selaras Seksyen 93(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyebabkan kecederaan terhadap seorang pelajar tingkatan empat di dewan sebuah sekolah di daerah ini pada pukul 12.15 tengah hari, 21 Julai lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hazwani Md. Nor manakala kedua-dua pelajar itu tidak diwakili peguam.
Kosmo! pada 13 Ogos lalu melaporkan dua pelajar terbabit mengaku bersalah di Mahkamah Kanak-kanak di sini atas pertuduhan mencederakan seorang pelajar sehingga menyebabkan lebam pada mata dan muntah-muntah.
Mahkamah kemudian membenarkan mereka dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM1,000 seorang sementara menunggu serahan laporan akhlak. – KOSMO! ONLINE














