PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli bakal menjadi taruhan baharu Malaysia dalam kelas Moto3 musim depan apabila menggalas misi besar memburu gelaran ‘Rookie of the Year’.
Penyertaan pelumba berusia 18 tahun itu bersama MSI Racing Team pada musim 2026 telah menamatkan penantian panjang peminat permotoran tanah air untuk menyaksikan wakil tetap negara kembali bersaing di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).
Di sebalik keyakinan tinggi terhadap bakat luar biasa dimilikinya, peringatan awal turut diberikan agar anak jati Terengganu itu mengekalkan disiplin dan fokus tinggi sepanjang musim.
Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif berkata, saingan Moto3 amat mencabar dan sentiasa menjanjikan pertarungan sengit di pentas dunia.
“Saya fikir dia mampu lakukannya (Rookie of the Year) tapi kita kena sedar Moto3 sangat kompetitif. Pelumba lain juga datang dengan kelajuan dan berpengalaman hebat,” katanya.
Shafriman turut yakin anak didik Zulfahmi Khairuddin itu mempunyai pakej lengkap untuk mencipta impak besar selepas analisis Grand Prix (GP) Malaysia baru-baru ini menunjukkan catatan masa Hakim hampir menyamai juara musim lalu.
Malangnya, masalah mekanikal menyebabkan dia terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal apabila jentera KTM dipacunya berdepan isu teknikal.
“Pesanan saya kepada Hakim terus kekalkan disiplin, fokus dan buktikan kemampuan. Buat kami semua di Malaysia bangga. Harap selepas ini pasukan lebih teliti dan pastikan jentera benar-benar kompetitif untuk bersaing di barisan hadapan,” katanya.
Musim depan, Hakim akan menunggang jentera Angel Piqueras selepas pelumba Sepanyol itu yang kini menduduki tangga kedua keseluruhan dinaikkan ke kelas Moto2.
Lebih menarik, Hakim dikatakan turut menerima tajaan penuh daripada MSi Racing Team termasuk bonus tambahan prestasi dan bakal bergandingan dengan pelumba Jepun, Ryusei Yamanaka. – KOSMO! ONLINE














