MELAKSANAKAN larangan terhadap penggunaan media sosial dalam kalangan generasi muda khususnya golongan kanak-kanak dilihat bukan langkah efisien dalam membentuk ideologi sihat dan berpengetahuan.
Sebaliknya Pengarah Dasar Awam Meta Asia Tenggara, Dr. Rafael Frankel memberitahu, pendidikan terhadap penggunaan internet seharusnya lebih diberi keutamaan.
Baginya, dunia tanpa sempadan membuka banyak peluang kepada pengguna untuk melayari sebarang kandungan dalam talian tanpa perlu bergantung kepada media sosial.
“Saya terbuka dalam menerima sebarang keputusan mana-mana pihak untuk menghalang penggunaan media sosial, tetapi sekarang ini kita bukan bercakap tentang media sosial sahaja kerana ada banyak lagi perkara lain ada di internet.
“Permainan video juga perkara yang perlu kita pantau begitu juga dengan aplikasi lain yang membolehkan mereka menonton dan melakukan apa sahaja.
“Perkara paling utama ialah kita perlu mendidik mereka tentang cara menggunakan internet itu sendiri dengan betul dan berhemah bukan sekadar penekanan kepada media sosial sahaja,” katanya yang menjadi panel Dialog Digital Amerika Syarikat (AS) – Malaysia yang berlangsung di Kuala Lumpur minggu lalu.
Di samping usaha memastikan kandungan yang tersedia secara dalam talian selamat, Frankel mencadangkan agar kandungan di internet dapat ditapis sebelum dapat diakses oleh pengguna.
“Terdapat pelbagai kandungan yang ada dalam internet, jadi kesemua kandungan ini mungkin boleh ditetapkan sama seperti penarafan filem contohnya PG13.
“Jadi, kandungan akan ditapis mengikut kesesuaian pengguna dengan data yang ada agar lebih terjamin,” katanya.

Menerusi sesi dialog itu, Frankel hadir bersama Duta AS ke Malaysia, Edgard D. Kagan membincangkan topik bertajuk Malaysia-America 2030: Building A U.S-Malaysia Tech Ecosystem (Malaysia-Amerika 2030: Membina Ekosistem Teknologi AS-Malaysia).
Sementara itu, Ketua Pembangunan Kandungan ML/AI & Data Google, Kelly Thompson turut mengharapkan pendidikan yang betul terhadap penggunaan internet perlu diterapkan kepada golongan kanak-kanak.
Menerusi pembentangan bertajuk Pembelajaran Tanpa Sempadan: Membina Bakat Masa Depan Dalam Era AI, Thompson berkongsi tentang hala tuju teknologi AI terhadap pembentukan kerjaya masa depan.
Seterusnya sesi dialog berkenaan diteruskan melibatkan barisan panel lain dalam mengupas pandangan, ideologi dan peluang terhadap perkembangan teknologi AI masa kini.
Antaranya melibatkan Rakan Sekutu di McKinsey & Company, Sunalini Sinha dan Ketua Pegawai Strategi EdgeTheory, Doowan Lee menerusi tajuk Malaysia-America 2030: Driving AI Excellence Through Public-Private Synergy (Malaysia-Amerika 2030: Menerajui Kecemerlangan AI melalui Sinergi Awam-Swasta).
Kemudian sesi tersebut diteruskan pada sesi kedua melibatkan Rakan Kongsi Deloitte Consulting Asia Tenggara, Jan Thomas Nicholas dan Pengarah Penglibatan dan Kempen Dasar Strategik (APJ) & ASEAN di AWS, Annabel Lee bertajuk Malaysia-America 2030: Advancing Innovation Through Data, Cloud and Semiconductor Collaboration (Malaysia-Amerika 2030: Memperkasa Inovasi melalui Kerjasama Data, Awan dan Semikonduktor).
Acara tersebut kemudian diakhiri dengan perbincangan Malaysia-America 2030: Forging Ahead For Malaysia-America Tech Collaboration (Malaysia-Amerika 2030: Melangkah Maju ke Hadapan untuk Kerjasama Teknologi Malaysia-Amerika) melibatkan tiga panel iaitu Pengarah Serantau Hal Ehwal Perundangan dan Kerajaan, ASEAN, Microsoft, Dr Jasmine Begum; Pengarah Hal Ehwal Kerajaan Malaysia & Asia Tenggara Intel, Datin Anna Baweh dan Pengurus Kanan Hal Ehwal Kerajaan dan Awam Micron Malaysia, Ahmed Zaki Moten.














