KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan kadar pengisian guru di seluruh negara mencapai tahap tinggi, dengan Putrajaya mencatat 100 peratus pengisian jawatan setakat 31 Ogos 2025.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, jumlah keseluruhan penjawatan guru yang diluluskan ialah 431,128, meliputi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM.
“Tiga negeri dengan kadar pengisian tertinggi ialah Putrajaya (100 peratus), Sabah (98 peratus) dan Wilayah Persekutuan Labuan (97.7 peratus),” katanya di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun katanya, terdapat empat negeri dengan kadar pengisian di bawah 96 peratus iaitu Johor (95.31 peratus), Pahang (95.47 peratus), Sarawak (95.93 peratus) dan Pulau Pinang (95.97 peratus).
Kah Woh turut mengakui masih wujud kekurangan guru bagi beberapa opsyen mata pelajaran, termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Reka Bentuk dan Teknologi, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral serta Pendidikan Khas.
Bagi mengatasi masalah itu, katanya, KPM meningkatkan kerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan bagi mempercepat pengambilan guru.
“SPP kini membuka permohonan sepanjang tahun dan melaksanakan pengambilan dua kali setahun. Selain itu, pengambilan guru contract of service turut diperluaskan kepada graduan pasaran terbuka daripada universiti awam dan swasta,” katanya.
Tambahnya, satu jawatankuasa khas antara KPM dan SPP turut ditubuhkan bagi menyelesaikan isu kekurangan guru dan mempercepatkan proses penempatan.-KOSMO! ONLINE.














