KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama beberapa jabatan serta agensi kerajaan akan mengadakan pertemuan dengan tiga gergasi media sosial iaitu Meta Platforms Inc (Meta), Google dan X (Twitter) minggu depan di Singapura.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pertemuan itu bertujuan membincangkan mekanisme terbaik pelaksanaan proses pengesahan identiti pengguna atau electronic Know Your Customer (eKYC) yang selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan proses eKYC menggunakan dokumen rasmi seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID dilaksanakan dengan selamat tanpa berlakunya ketirisan maklumat peribadi. Menurut beliau, selain isu keselamatan data, kerajaan turut memberi tumpuan terhadap perlindungan kanak-kanak dalam talian daripada ancaman seperti pedofilia.
“Kita tahu antara cabaran besar adalah memastikan kanak-kanak dilindungi di alam siber. Sebab itu proses eKYC amat penting dalam memastikan akses media sosial kanak-kanak berumur bawah 16 tahun dapat dikawal,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH–Bangi) yang bertanya mengenai langkah kerajaan mengekang akses media sosial bagi kanak-kanak bawah umur.
Dalam pada itu, Fahmi turut mengulas keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini yang mengisytiharkan perkataan jelik dan menyakitkan hati di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (Akta 588) sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah.
Jelasnya, kerajaan menghormati keputusan tersebut, namun atas nasihat Jabatan Peguam Negara (AGC), permohonan kebenaran rayuan ke Mahkamah Persekutuan telah difailkan.
“Memandangkan kes ini masih dalam proses rayuan, semua pihak perlu menghormati proses kehakiman dan elak membuat spekulasi,” katanya.
Mahkamah Rayuan sebelum ini memutuskan bahawa peruntukan Seksyen 233 sebelum pindaan Akta 588 tidak sah kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.-KOSMO! ONLINE.














