KAJANG – Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai menyebar gambar lucah bekas kekasihnya yang juga pelajar kolej dalam kumpulan WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita berusia 24 tahun yang bekerja di sebuah kolej swasta pada 23 Oktober lalu.
“Pengadu memaklumkan terdapat gambar lucah dan mengaibkan milik seorang pelajar kolej yang telah disebarkan dalam kumpulan WhatsApp pelajar institusi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil risikan membawa kepada penangkapan seorang lelaki berusia 40 tahun pada pukul 9.35 malam, Ahad lalu.
“Siasatan mendapati suspek yang menganggur mempunyai sembilan rekod jenayah. Polis merampas sebuah telefon bimbit bagi membantu siasatan. Lelaki itu direman tiga hari sehingga 29 Oktober ini,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Siti Aidah Yem di talian 010-2176278 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














