fbpx
YAMAL

Barcelona lesu, Yamal belum ‘matang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MADRID – Penolong jurulatih Barcelona, Marcus Sorg mengakui mereka gagal menampilkan aksi terbaik selepas tewas 1-2 kepada Real Madrid dalam pertembungan El Clasico pertama musim ini pada aksi La Liga di Santiago Bernabeu kelmarin.

Fermin Lopez meletakkan Barcelona di depan, namun dua jaringan daripada Kylian Mbappe dan Jude Bellingham memastikan kemenangan berpihak kepada tuan rumah.

Sorg berkata, skuad bimbingan Hansi Flick itu banyak melakukan kesilapan mudah yang akhirnya membuka ruang kepada Real menguasai permainan.

“Saya rasa kami membuat lebih banyak kesilapan daripada kebiasaan. Tahap pertahanan kami terlalu rendah, manakala serangan tidak cukup tajam untuk mencipta peluang,” katanya.

Beliau turut mengulas mengenai prestasi hambar pemain muda sensasi, Lamine Yamal yang gagal mencetuskan ancaman berbahaya selain turut terlibat dalam perbalahan antara kedua-dua pasukan selepas tamat perlawanan.

“Dia baru pulih daripada kecederaan dan perlukan lebih banyak perlawanan untuk dapatkan rentak. Real bertahan dengan baik, malah mereka kerap meletakkan dua pemain menutup ruangnya,” jelas Sorg.

Menurutnya, faktor usia turut memainkan peranan besar kerana Yamal masih dalam proses belajar menyesuaikan diri dengan tekanan besar perlawanan seperti El Clasico.

“Mungkin sedikit terkesan dengan suasana di stadium, dengan sorakan dan tekanan penonton. Dia masih muda, dan ini semua sebahagian daripada proses pembelajaran,” tambahnya.

Meskipun kekalahan itu sedikit menjejaskan moral pasukan, Sorg tetap optimis Barcelona akan bangkit semula dalam baki 28 perlawanan liga musim ini.

“Musim masih panjang. Kami perlu terus bekerja keras dan perbaiki kelemahan. Tidak perlu panik, kami tahu apa yang perlu dilakukan,” tegasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI