KUALA LUMPUR- Pegangan teguh Malaysia menerusi kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kepentingan berdiplomasi membolehkan negara sebagai Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menghimpunkan beberapa kuasa besar global di ibu negara.
Anwar berkata, kejayaan terbesar Malaysia ialah memastikan hampir kesemua kuasa besar dunia untuk mengadakan libat urus meskipun ada daripada pengaruh global itu masih depan konflik geopolitik.
Pada masa sama, Anwar turut mengakui terdapat kritikan yang dilontarkan seperti mengapa terlalu memihak kepada China atau menjemput Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump walaupun terkait konflik dunia. “Kenapa berpihak pada negara China, tapi kita jemput dan baik dengan Amerika Syarikat, ada pula yang kritik kenapa terlalu sambut dengan AS, tapi kita juga baik dengan Brazil dan Afrika Selatan yang tidak disenangi negara barat.
“Kenapa kita dengan Kesatuan Eropah, kerana perdagangan dan pelaburan negara itu penting, bagi saya keputusan itu menjaga imej negara, menjaga kepentingan negara, ekonominya, pelaburannya dan lebih penting membawa manfaat untuk rakyat.
“Baik dengan negara, berdagang datang ke sini sebagai pelancong pedagangan, pelabur manfaat kepada rakyat. Itu sebab kita teruskan dengan sidang ini dan lain termasuk wakil Tabung Kewangan Sedunia, Bank Dunia dan beberapa badan penyelidikan dunia terkenal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi sidang akhbar khas sempena acara Penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE














