KUALA LUMPUR – Susulan isu kekeliruan tarikh dan waktu pernikahan sebagaimana dakwaan pelakon Uqasha Senrose sebelum ini, peguam syarie mewakili Kamal Adli, Hadi Saleh bertegas, perkara tersebut bersifat peribadi dan melibatkan hal keluarga yang seharusnya diselesaikan secara tertutup tanpa campur tangan pihak luar.
Hadi Saleh berkata, satu surat penjelasan juga telah dihantar kepada peguam Uqasha bagi memaklumkan segala perincian.
“Yang itu (isu tarikh nikah) saya tak nak komen apa-apa sebab kita cuba selesaikan perkara itu secara dalaman sebab benda berkaitan keluarga.
“Setakat ini kita dah buat surat penjelasan kepada pihak peguam dia, menceritakan tentang situasi.
“Jadi, kita tak ada hasrat untuk berkongsi di sini dan harap benda itu dihentikan serta dibahaskan. Cukup setakat itu saja,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, hari ini.
Sementara itu, Kamal atau Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, pula tampil memaafkan isterinya atas kenyataan yang dibuat berhubung isu berkenaan.
“Itu isteri saya walaupun kami tak jumpa tapi sebagai suami, saya maafkan.
“Ada khilaf juga daripada saya sebenarnya. Itu maksudnya, benda itu bukan salah dia.
“Dia terkejut, ada benda yang kami perlu selesaikan bersama keluarga. Jadi, saya minta maaf sekali lagi untuk semua orang,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Uqasha membangkitkan isu mengenai kekeliruan tarikh dan waktu pernikahannya dengan Kamal selepas pulang dari mahkamah.
Sebelum ini, nama Kamal dan Uqasha menjadi bualan selepas tersebar spekulasi yang mendakwa rumah tangga mereka di ambang kehancuran pada April lalu.
Untuk rekod, pasangan Kamal dan Uqasha telah bernikah secara tertutup pada 4 November 2021 dan dikurniakan cahaya mata, Hawra Uqaira. – KOSMO! ONLINE














