PETALING JAYA – Tiga anggota polis disiasat berhubung kes pemerasan dan cabul ke atas seorang pelajar perempuan berusia 18 tahun pada 17 September lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kertas siasatan berhubung kejadian itu telah dilengkapkan dan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) hari ini untuk tindakan lanjut.
Katanya, siasatan tatatertib ke atas tiga anggota itu turut dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS). “Ketiga-tiga anggota tersebut masih bertugas, namun tidak melibatkan tugasan di lapangan sementara menunggu arahan pihak DPP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, ketiga-tiga mereka dicadangkan dituduh di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan, namun seorang daripada mereka turut dicadangkan pertuduhan mengikut Seksyen 354 kanun sama.
“Sekiranya arahan pertuduhan diterima, ketiga-tiga anggota tersebut akan ditahan kerja serta-merta,” jelasnya.
Sebelum ini, tular laporan mengenai seorang pelajar wanita bersama teman lelakinya ditahan sekumpulan anggota polis ketika berada di Jalan Sentul Pasar.
Remaja itu mendakwa dipaksa membayar RM10,000 selain melakukan hubungan seks dengan salah seorang anggota polis terbabit. Berdasarkan laporan dibuat, dia turut dicabul apabila salah seorang anggota tersebut ketika mereka berbincang. – KOSMO! ONLINE














