PETALING JAYA – Sebuah rumah yang dilengkapi perabot moden kini bertukar wajah tidak ubah seperti tempat pembuangan sampah seolah-olah tidak berpenghuni sejak sekian lama.
Menerusi perkongsian video di TikTok oleh @ftnramlie, kelihatan seluruh ruang kediaman itu dipenuhi longgokan plastik, pakaian dan kotak sehingga menutupi hampir semua laluan.
Pemilik rumah itu mendakwa, kediaman tersebut sebelum ini dalam keadaan bersih dan dilengkapi perabot, namun kini hampir semuanya rosak dan tidak terjaga. Katanya, dia telah meminta penyewa supaya mengosongkan rumah itu sejak minggu lalu, namun individu terbabit enggan berbuat demikian dengan pelbagai alasan.
“Dia cakap dia OKU (orang kurang upaya) la, tak ada tempat nak pergi la. Bila kami minta keluar, dia ugut nak call (hubungi) polis. Kami cabar dia call, ini rumah kami,” katanya yang memaklumkan sudah menghubungi pihak polis untuk campur tangan.
Katanya, pihak polis memberi tempoh satu hingga dua minggu kepada penyewa terbabit untuk keluar, dan sekiranya gagal, laporan susulan akan dibuat untuk tindakan pengusiran.
Dia turut meluahkan rasa terkilan apabila mendakwa sudah banyak bertolak ansur dengan penyewa tersebut termasuk menerima bayaran sewa lewat, menanggung tunggakan bil elektrik dan air selain deposit RM1,500 sahaja.
Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial dengan rata-rata mereka meluahkan rasa terkejut dan kesal dengan keadaan rumah tersebut.
“Ramai yang berperangai macam ini rupanya. Macam mana boleh duduk dalam keadaan macam tu? Saya mainan anak bersepah atas lantai pun dah stres, terus hilang semangat,” komen Bunga Kenanga.
“Kat mana mereka tidur, makan, masak dan santai-santai? Allah, biar betul sampai macam ni. Nak cari apa-apa pun tak jumpa kalau macam ini gayanya serabut tengok,” kata @ita_nang
“Buat rumah sewa memang banyak risiko, kalau rosak sakit mata dan sakit poket,” kata @Sapphire Lynn – KOMSO! ONLINE














