PETALING JAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) akan membuka permohonan bagi rayuan mengerjakan ibadat haji bagi musim 1447H/2026M bermula 3 November ini menerusi aplikasi dan laman sesawang THiJARI.
Ketua Jabatan Haji TH, Mohd. Hisham Harun berkata, pembukaan awal proses rayuan itu bagi memberi ruang kepada bakal jemaah membuat persediaan lebih rapi dan memastikan urusan permohonan dapat dilaksanakan dengan lancar dan efisien.
“TH sentiasa komited meletakkan kepentingan serta kebajikan bakal haji sebagai keutamaan. Atas dasar itu, kita buka proses rayuan lebih awal bagi memberi kemudahan kepada mereka membuat persiapan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, beberapa kriteria akan diambil kira dalam pertimbangan merit rayuan luar giliran seperti tempoh pendaftaran haji, umur, purata baki simpanan dalam akaun TH, kekerapan permohonan rayuan serta penyertaan dalam Kursus Asas Haji anjuran TH.
Permohonan rayuan dibuka kepada pendeposit yang memiliki simpanan sekurang-kurangnya RM15,000 dalam akaun masing-masing.
Bagi jemaah yang terpilih melalui proses rayuan, kadar bayaran haji yang dikenakan ialah kos penuh sebanyak RM33,300, selaras dengan konsep istitoah (kemampuan).
Seperti tahun-tahun sebelumnya, keutamaan akan diberikan kepada permohonan rayuan mahram, pengiring jemaah lanjut usia serta pengiring jemaah orang kurang upaya (OKU) yang telah terpilih menunaikan haji pada musim 1447H/2026M.
Maklumat lanjut berkaitan proses rayuan, semakan kategori dan status permohonan boleh diperoleh melalui aplikasi THiJARI atau laman sesawang www.thijari.com.my.
Untuk sebarang pertanyaan, pendeposit boleh melayari www.tabunghaji.gov.my atau menghubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919. – KOSMO! ONLINE














