JAKARTA – Sebuah majlis perkahwinan di Tegal, wilayah Jawa Tengah mengundang perhatian orang ramai apabila memberikan tetamu baldi berisi makanan sebagai buah tangan, lapor portal berita Detik.
Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @aritw28 menunjukkan beberapa rakan pengantin lelaki diberikan sebuah baldi berwarna kelabu.
Lebih mengejutkan, setiap baldi itu berisi masakan khas Indonesia seperti telur, tempe, rendang dan kentang goreng sambal.
Rakaman itu mencatatkan lebih 927,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Semua tetamu mesti senyum,” kata seorang netizen.
“Buah tangan yang sangat bermanfaat!” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














